Tingkat Kefahaman Islam Beliawanis Bersama PEMBINA
Alhamdulillah dengan rahmat dan redha ALLAH SWT, unit Beliawanis PEMBINA SHAH ALAM KLANG telah berjaya menganjurkan KULIAH TAFAQUH dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Seksyen 2 pada semester Disember 2008-Mei 2009. Kuliah Tafaquh ini diadakan khusus untuk para pelajar universiti sekitar Shah Alam. Program ini telah disertai secara majoritinya oleh mahasiswi UiTM Shah Alam, INTEC, Unisel Shah Alam dan juga MSU.
Kuliah Tafaquh ini mempunyai objektif untuk memberi kefahaman kepada siswi-siswi dalam ilmu fardhu ain terutamanya Fiqh dan Tajwid. Unit Beliawanis SAK berpandangan perkara ini adalah isu penting dalam kehidupan seorang pelajar Muslim dan ianya tiada dalam silibus akademik institusi pengajian secara menyeluruh. Unit Beliawanis berpendapat, belia hari ini semakin jauh dengan asas-asas fardhu yang seharusnya menjadi perhatian setiap individu sama seperti penekanan yang diberikan dalam ilmu akademik. Oleh itu, unit Beliawanis berusaha merealisasikan matlamat ini.
Program ini telah dimulakan pada 8 Februari 2009 dan diadakan secara konsisten pada hari ahad setiap minggu. Kuliah Tajwid menjadi pembuka tirai dengan kehadiran siswi menghampiri jumlah 30 orang. Kuliah Tajwid dimulakan dengan perkara asas iaitu mengenali makhraj huruf dan cara sebutannya. Pada minggu berikutnya, kuliah Fiqh pula mengambil tempat dengan mengupas permasalahan fiqh iaitu istinja’. Sesi kali ini membantu mengukuhkan kefahaman para peserta terhadap perkara asas dalam bersuci yang kadangkala tidak begitu dititikberatkan.
Perjalanan kuliah tafaquh ini adalah secara berselang-seli setiap minggu antara kuliah tajwid dan kuliah Fiqh. Kehadiran peserta dalam program ini agak menggalakkan. Seramai hampir 30 peserta hadir pada setiap sesi kuliah. Kuliah ini disampaikan oleh dua orang tenaga pengajar yang dijemput khas dari kawasan Shah Alam Klang. Program ini turut diadakan secara interaktif di mana para pelajar digalakkan untuk bersoal jawab dengan penceramah. Ini sejajar dengan konstruktif teori, teori pendidikan yang mengutamakan pelajar sebagai ‘active learner’ dan guru sebagai fasilitator. Bagi menguji kefahaman para pelajar, pihak penceramah juga mengutarakan soalan-soalan untuk dijawab di akhir sesi pembelajaran. Handouts turut diberikan kepada para peserta bagi mengukuhkan lagi kefahaman tentang topik yang dipelajari. Pada masa yang sama, sesi pengenalan kepada PEMBINA juga diselitkan di akhir kuliah untuk menarik lebih ramai mahasiswa menjadi sukarelawan bersama PEMBINA. Kuliah ini merupakan satu usaha pihak PEMBINA untuk memberi kefahaman Islam kepada para pelajar supaya dapat melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek duniawi dan akhirat ukhrawi.
Justeru, PEMBINA telah merencanakan pelbagai aktiviti yang lebih menarik untuk membentuk modal insan sejajar dengan misi PEMBINA untuk melahirkan generasi belia Islam yang beriman, berilmu, seimbang dan dinamik.
JOM SERTAI PEMBINA!!!!!
Unit Media, Teknikal & Dokumentasi ;
Unit Sukarelawan
Beliawanis PEMBINA Selangor








