Perhimpunan Agung UMNO, di mana posisi kita?
Perhimpunan Agung UMNO, di mana posisi kita?
Baru bebeberapa hari Perhimpunan Agung UMNO tamat. Bahangnya masih terasa, lebih-lebih lagi Perhimpunan kali ini banyak mengulang hasrat pimpinan parti yang baru untuk membuat perubahan. Pastinya kita sebagai rakyat Malaysia sentiasa menyambut baik sebarang usaha untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik. Namun persoalan yang menjadi buah mulut rakyat jelata ialah “Sejauh mana kepastian bahawa UMNO akan benar-benar berubah?”
Jawapan sebenar kepada persoalan ini ada pada pemimpin UMNO itu sendiri. Yang pastinya, sebagai rakyat yang berada di posisi pihak ketiga, kita berhak untuk membuat analisa berdasarkan pemerhatian kita kepada apa yang dilihat berlaku. Adapun apa yang tidak dilihat, itu kita serahkan kepada Allah s.w.t.
Jawatan Ketua Pemuda UMNO adalah antara kerusi yang menjadi perhatian umum, Keajaiban salah seorang calon yang mampu bertanding meskipun telah diberi amaran tentang penyalahgunaan wang semasa berkempen pastinya menarik perhatian semua.
Sebagai seorang belia yang mahukan perubahan berlaku di tanahair, saya sempat menjenguk televisyen untuk menyaksikan detik-detik pengumuman kemenangan Sdr Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO. Ternanti-nantinya saya detik ini, bukanlah kerana saya peminat setia KJ, tetapi saya merasakan jawatan Ketua Pemuda bagi salah satu parti Melayu Muslim yang terbesar di Malaysia ini akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada masa depan belia tanahair. Saya juga ingin mendengar akan wawasan Ketua Pemuda yang baru dalam menangani arus perubahan yang dicanang-canang oleh pimpinan UMNO itu sendiri. Apatah lagi apabila stesen televisyen tidak putus-putus memberikan liputan perhimpunan ini.
Pucuk dicita tetapi saya rasa bukan ulam yang mendatang, kerana kalimah awal setelah kemenangan beliau tidak menjelaskan halatuju perubahan pemuda Melayu.Tetapi apa yang berlaku, diiringi sorak sorai penyokong beliau, platform berucap itu telah digunakan untuk menyampaikan perasaan puas atas kemenangan tipis beliau di atas calon-calon yang lain. Bukan perubahan dalaman UMNO yang beliau laung-laungkan, tetapi sebaliknya beliau hanya menjulang-julang kebijaksanaan penyokongnya yang “berani berubah” untuk memilih Pemuda Setiakawan iaitu istilah yang digunakan bagi bloknya semasa berkempen. Tidak cukup dengan itu, ucapan terus disambung untuk menafikan tuduhan-tuduhan & ketidakyakinan ahli dalam blok lain terhadap kejayaan beliau tanpa sokongan ayah mertua, riak bangga dan berpuas hati jelas terungkap pada wajah beliau semasa berucap.
Senario ini memberikan persepsi bahawasanya masyarakat kita khususnya Melayu masih terbelenggu dengan blok-blok politik. Keghairahan mendapatkan kuasa jelas tergambar. Pengundi calon yang menang dianggap hebat, pengundi calon yang kalah dianggap gagal dan tersilap besar.

Pada pandangan saya, ini bukanlah suasana yang kita mahukan. Kemenangan seseorang dalam sesuatu jawatan sepatutnya hanyalah kerana mahu memastikan sesuatu visi tercapai, bukanlah semata-mata mahu menang dan berbangga. Kalau kita toleh ke Barat barang sebentar, cuba kita renungkan, mungkinkah KJ akan mengambil tindakan yang sama seperti Barack Obama, iaitu mengambil Clinton pesaing utamanya sebagai Setiausaha?
Usai memandang kepada senario ini, ajaklah diri kita untuk menilai diri kita sebagai belia Muslim. Pada hari ini kita menonton televisyen,memerhatikan gelagat pemimpin seterusnya memberikan penilaian kita. Namun apakah langkah seterusnya? Apakah kita kembali ke kerusi empuk, berpeluk tubuh setelah segala komen kita disampaikan?
Saya melihat bahawa senario politik tanahair masakini memerlukan kita untuk turut bersama meskipun bukan dalam bentuk politik. Masih ramai belia yang tidak peka dengan situasi semasa tanahair. Ketua Pemuda yang sepatutnya mewakili dan menaungi seluruh belia Melayu Muslim tanahair hanya memikirkan blok partinya sendiri. Walhal sebagai parti majoriti yang memerintah, sepatutnya skop belia yang digarap bukan sekadar parti, malah sepatutnya isu belia segenap pelusuk tanahair diambil kira dan dijadikan manifesto perjuangan.
Akhirnya saya melihat bahawa kita tidak boleh sekadar mengharapkan mereka yang muncul di kaca televisyen. Terlalu banyak peranan yang kita boleh mainkan sebagai belia Muslim Malaysia. Sebelum agama & bangsa kita tergadai, ayuh pastikan kita menempatkan diri dalam saf perjuangan. PEMBINA bersedia menerima Sukarelawan yang ingin bergabung. Matlamat kita tidak lain hanyalah untuk memastikan generasi pimpinan masyarakat masa hadapan tidak lagi sekadar mementingkan cita-cita peribadi dalam perjuangannya. Sesungguhnya Islam meminta kita berfikir tentang ummat lebih dari diri kita sendiri.
“Wa man lam yahtam bi amril muslimin, fa laisa minhum”
Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan umat islam, maka dia bukanlah dari kalangan mereka.(Hadis)
Wallahua’lam
Norzafry Norhalim
Media PEMBINA
(Ahli JK Pusat)





Zafry dah pakai songkok. Ada gaya…
Umar Abd Rashid bila pulak nak pakai songkok?
Alhamdulillah…
Tulisan yang bernas.
Memang nampak sangat ke mana hala tuju dan NIAT sebenar pemimpin baru nih.
Simple Logic;InsyaAllah sindri boleh pikir…
Gunakan KUASA untuk perjuangkan ISLAM,
Atau
Gunakan ISLAM untuk perjuangkan KUASA
Semoga Allah bagi hidayah dan bersihkan hati-hati umat ISLAM…InsyaAllah
Nice work! I’ll have to do a cross post on this one